“Saya dipecat kerana Anwar Ibrahim,” kata bekas Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Mohamed Ali .
Mengulas pemecatannya sebagai anggota PAS semalam, Hasan yang juga
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu,
Infrastrukur dan Kemudahan Awam Selangor berkata, segala komen yang diutarakannya adalah
membabitkan isu peribadi Ketua Pembangkang itu kerana tidak mahu rakyat
terjebak dalam pemainan politik Anwar.
“Saya tidak mahu beliau (Anwar) mengheret rakyat menjunjung perjuangannya yang saya rasa amat kotor, ini yang saya perjuangkan.
“Saya tidak sanggup hadir menyokong Anwar esok, saya antara
orang PAS yang tidak sanggup membuat justifikasi mengapa Anwar harus
jadi Perdana Menteri,” katanya kepada pemberita di kediamannya di Damansara.
Turut hadir bekas Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa dan
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Ibrahim Ali.
Dr Hasan berkata, beliau akan membuat sidang media minggu ini bagi menjelaskan secara terperinci mengenai perjuangannya itu.
Hasan berkata Anwar, yang juga Penasihat Parti Keadilan
Rakyat (PKR), tidak layak menjadi Perdana Menteri kerana mempunyai latar
belakang ‘meragukan’ dan berpendapat Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang atau Murshidul Am PAS Nik Aziz Nik Mat lebih layak memegang jawatan itu.
“Saya paling tidak seronok bila ada desakan daripada Azmin Ali
(Timbalan Presiden PKR) untuk pecat saya. Macam mana orang PAS boleh
ditunjuk sedemikian rupa.
“Apa hak Azmin mahu campuri rumahtangga PAS. Apapun terjadi, saya
dipecat, digugur atau apa sekalipun, saya akan berjuang demi Islam,
institusi Raja dan demi bangsa Melayu di negara ini,” katanya.
Beliau berkata perjuangan itulah yang cuba dibawanya dalam PAS, namun
usaha tersebut tidak dihargai, tidak ditunjuk jalan dan disekat PAS
sendiri.
Sementara itu, Nasharudin berkata kehadirannya malam ini sebagai
menyatakan sokongan peribadi kepada Hasan, yang sentiasa komited
memperjuangkan syiar Islam walaupun berdepan pelbagai cabaran dan dugaan.
“Tindakan pimpinan PAS Pusat memecat Dr Hasan merupakan satu tindakan
drastik tanpa memberi peluang kepada beliau untuk memberi penjelasan.
“Saya sebagai anggota Majlis Syura Ulama PAS ingin menyatakan ruang
masih ada untuk beliau berkhidmat kepada parti dengan mengemukakan
rayuan pemecatan beliau dalam tempoh 30 hari kepada majlis ini,”
katanya.
Nasharudin juga berharap tidak timbul polemik di kalangan anggota PAS
yang menganggap orang yang menyatakan pendapat dalam media proUmno
ingin menjadi anggota UMNO.
“Saya harap politik kita lebih matang daripada itu, mesej
perjuangan kita harus dikukuhkan agar Islam sentiasa berada di hati
kita,” katanya.
Ibrahim pula berkata beliau hadir atas dasar ingin menyatakan sokongan terhadap perjuangan Hasan menegakkan Islam di negara ini.
“Tindakan memecat Hasan sepatutnya tidak terjadi dalam sebuah parti
yang memperjuangkan Islam, parti Islam perlu ada perbincangan dan
rundingannya. Ini bukan isu kecil, ini melibatkan prinsip,” katanya


No comments:
Post a Comment