Penulis sudah katakan
bahawa tindakan Timbalan Presiden PKR, YB Azmin Ali mempertikaikan kos
pembinaan pejabat Datuk Dr. Hasan Ali semasa masih menjadi Exco
Selangor, adalah satu tindakan yang tidak kena pada masanya.
Justifikasi penulis ketika itu
pendedahan itu (jika benar) hanya menggambarkan Pakatan Rakyat
melindungi kesalahan pemimpin negeri semasa berkuasa dan mendedahkannya
setelah pemimpin itu tidak lagi bersama Pakatan Rakyat.
Kebimbangan penulis itu ternyata berasas
apabila Hasan Ali bukan setakat menjawab tuduhan yang dikenakan ke
atasnya disini, jawapan itu pula mendapat sokongan Menteri Besar, Tan
Sri Khalid Ibrahim yang mengesahkan kos tinggi untuk membina pejabat
Hasan Ali itu mengikut prosedur disini.
Semua ini membuktikan bahawa tuduhan
Azmin itu dibuat secara ‘mala-fide’ bagi memburukkan Hasan Ali setelah
dia disingkirkan dari barisan Exco Selangor dan sebagai ahli PAS sejak
Januari.
Tidak setakat itu, tuduhan Azmin ini
telah membuatkan Hasan Ali membuat dakwaan balas bahawa ada anggota Exco
yang mengubahsuai pejabat masing-masing dengan kos yang jauh lebih
tinggi dari pejabatnya.
Kita sangka Hasan Ali paling tinggi, rupanya ada
yang lebih tinggi.
Tak pasal-pasal kerajaan negeri dipaksa
mendedahkan pula kos pembinaan pejabat anggota Exco yang lainnya bagi
menyanggah dakwaan Hasan Ali.
Semua ini berlaku ketika tarikh pilihanraya semakin hampir.
Walaupun Hasan Ali ada membangkitkan
dakwaan bersifat peribadi ke atas Azmin, tapi penulis tidak berminat
untuk menyatakannya disini kerana penulis yakin Azmin mampu menjawab
semua tuduhan itu, atau paling tidak menyaman semua mereka yang
terbabit.
Yang penulis utamakan ialah kerajaan
negeri. Seperti yang pernah penulis sebutkan dahulu, keutamaan sekarang
ialah mempertahankan negeri-negeri yang kita menangi pada 2008 terutama
sekali Selangor!!
Jadi amat penting untuk kesucian
intergriti kerajaan Selangor dipertahankan sehingga ke akhirnya.
Selangor perlu dipertahankan dan digambarkan sebagai negeri yang paling
atas dari segi keterbukaan dan ketelusan serta bebas penyalahgunaan
kuasa dan dana awam.
Kalau pun ada sebarang perkara yang
tidak kena, ia patut dilaporkan kepada pihak berwajib, bukan
menggalakkan perang mulut yang hanya merugikan Pakatan Rakyat.
Tidak keterlaluan penulis katakan, apa
yang dilakukan Azmin ini telah menghancurkan semua usaha yang telah
dilakukan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor selama memerintah sejak tahun
2008.
Untuk menyelesaikan masalah ini dan
mengelakkan polemik politik berpanjangan, penulis suka mencadangkan
disini agar Azmin memohon maaf kepada Hasan Ali secara terbuka.
Penulis tidak nampak sebarang masalah,
sebaliknya rakyat akan menghargai tindakan Azmin itu dan mengekalkan
sokongan terhadapnya.
Mungkin ada bising sana sini terutama
sekali di ruang siber yang tidak terbatas ini, tapi itu bukanlah satu
masalah besar dan ia akan lenyap dengan sendirinya juga.
Tapi kemulian dari tindakan Azmin itu nanti akan dikenang dan dipandang mulia rakyat Selangor.



