“Saya dipecat kerana Anwar Ibrahim,” - Dr Hasan Ali

“Saya paling tidak seronok bila ada desakan daripada Azmin Ali (Timbalan Presiden PKR) untuk pecat saya. Macam mana orang PAS boleh ditunjuk sedemikian rupa.

“Apa hak Azmin mahu campuri rumahtangga PAS. Apapun terjadi, saya dipecat, digugur atau apa sekalipun, saya akan berjuang demi Islam, institusi Raja dan demi bangsa Melayu di negara ini,” - Dr Hasan Ali

Tuesday, 3 April 2012

Hasan Ali: Pendedahan Azmin Terbukti Makan Diri

Penulis sudah katakan bahawa tindakan Timbalan Presiden PKR, YB Azmin Ali mempertikaikan kos pembinaan pejabat Datuk Dr. Hasan Ali semasa masih menjadi Exco Selangor, adalah satu tindakan yang tidak kena pada masanya.

Justifikasi penulis ketika itu pendedahan itu (jika benar) hanya menggambarkan Pakatan Rakyat melindungi kesalahan pemimpin negeri semasa berkuasa dan mendedahkannya setelah pemimpin itu tidak lagi bersama Pakatan Rakyat.

Kebimbangan penulis itu ternyata berasas apabila Hasan Ali bukan setakat menjawab tuduhan yang dikenakan ke atasnya disini, jawapan itu pula mendapat sokongan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim yang mengesahkan kos tinggi untuk membina pejabat Hasan Ali itu mengikut prosedur disini.

Semua ini membuktikan bahawa tuduhan Azmin itu dibuat secara ‘mala-fide’ bagi memburukkan Hasan Ali setelah dia disingkirkan dari barisan Exco Selangor dan sebagai ahli PAS sejak Januari.

Tidak setakat itu, tuduhan Azmin ini telah membuatkan Hasan Ali membuat dakwaan balas bahawa ada anggota Exco yang mengubahsuai pejabat masing-masing dengan kos yang jauh lebih tinggi dari pejabatnya. 

Kita sangka Hasan Ali paling tinggi, rupanya ada yang lebih tinggi.

Tak pasal-pasal kerajaan negeri dipaksa mendedahkan pula kos pembinaan pejabat anggota Exco yang lainnya bagi menyanggah dakwaan Hasan Ali.

Semua ini berlaku ketika tarikh pilihanraya semakin hampir.

Walaupun Hasan Ali ada membangkitkan dakwaan bersifat peribadi ke atas Azmin, tapi penulis tidak berminat untuk menyatakannya disini kerana penulis yakin Azmin mampu menjawab semua tuduhan itu, atau paling tidak menyaman semua mereka yang terbabit.

Yang penulis utamakan ialah kerajaan negeri. Seperti yang pernah penulis sebutkan dahulu, keutamaan sekarang ialah mempertahankan negeri-negeri yang kita menangi pada 2008 terutama sekali Selangor!!

Jadi amat penting untuk kesucian intergriti kerajaan Selangor dipertahankan sehingga ke akhirnya. Selangor perlu dipertahankan dan digambarkan sebagai negeri yang paling atas dari segi keterbukaan dan ketelusan serta bebas penyalahgunaan kuasa dan dana awam.

Kalau pun ada sebarang perkara yang tidak kena, ia patut dilaporkan kepada pihak berwajib, bukan menggalakkan perang mulut yang hanya merugikan Pakatan Rakyat.

Tidak keterlaluan penulis katakan, apa yang dilakukan Azmin ini telah menghancurkan semua usaha yang telah dilakukan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor selama memerintah sejak tahun 2008.

Untuk menyelesaikan masalah ini dan mengelakkan polemik politik berpanjangan, penulis suka mencadangkan disini agar Azmin memohon maaf kepada Hasan Ali secara terbuka.

Penulis tidak nampak sebarang masalah, sebaliknya rakyat akan menghargai tindakan Azmin itu dan mengekalkan sokongan terhadapnya.

Mungkin ada bising sana sini terutama sekali di ruang siber yang tidak terbatas ini, tapi itu bukanlah satu masalah besar dan ia akan lenyap dengan sendirinya juga.

Tapi kemulian dari tindakan Azmin itu nanti akan dikenang dan dipandang mulia rakyat Selangor.

Sunday, 1 April 2012

Saya Dipecat PAS Kerana Anwar Ibrahim – Hasan Ali

“Saya dipecat kerana Anwar Ibrahim,” kata bekas Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Mohamed Ali .

Mengulas pemecatannya sebagai anggota PAS semalam, Hasan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastrukur dan Kemudahan Awam Selangor berkata, segala komen yang diutarakannya adalah membabitkan isu peribadi Ketua Pembangkang itu kerana tidak mahu rakyat terjebak dalam pemainan politik Anwar.

“Saya tidak mahu beliau (Anwar) mengheret rakyat menjunjung perjuangannya yang saya rasa amat kotor, ini yang saya perjuangkan.

“Saya tidak sanggup hadir menyokong Anwar esok, saya antara orang PAS yang tidak sanggup membuat justifikasi mengapa Anwar harus jadi Perdana Menteri,” katanya kepada pemberita di kediamannya di Damansara.

Turut hadir bekas Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa dan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Ibrahim Ali.

Dr Hasan berkata, beliau akan membuat sidang media minggu ini bagi menjelaskan secara terperinci mengenai perjuangannya itu.

Hasan berkata Anwar, yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), tidak layak menjadi Perdana Menteri kerana mempunyai latar belakang ‘meragukan’ dan berpendapat Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang atau Murshidul Am PAS Nik Aziz Nik Mat lebih layak memegang jawatan itu.

“Saya paling tidak seronok bila ada desakan daripada Azmin Ali (Timbalan Presiden PKR) untuk pecat saya. Macam mana orang PAS boleh ditunjuk sedemikian rupa.

“Apa hak Azmin mahu campuri rumahtangga PAS. Apapun terjadi, saya dipecat, digugur atau apa sekalipun, saya akan berjuang demi Islam, institusi Raja dan demi bangsa Melayu di negara ini,” katanya.

Beliau berkata perjuangan itulah yang cuba dibawanya dalam PAS, namun usaha tersebut tidak dihargai, tidak ditunjuk jalan dan disekat PAS sendiri.

Sementara itu, Nasharudin berkata kehadirannya malam ini sebagai menyatakan sokongan peribadi kepada Hasan, yang sentiasa komited memperjuangkan syiar Islam walaupun berdepan pelbagai cabaran dan dugaan.

“Tindakan pimpinan PAS Pusat memecat Dr Hasan merupakan satu tindakan drastik tanpa memberi peluang kepada beliau untuk memberi penjelasan.

“Saya sebagai anggota Majlis Syura Ulama PAS ingin menyatakan ruang masih ada untuk beliau berkhidmat kepada parti dengan mengemukakan rayuan pemecatan beliau dalam tempoh 30 hari kepada majlis ini,” katanya.

Nasharudin juga berharap tidak timbul polemik di kalangan anggota PAS yang menganggap orang yang menyatakan pendapat dalam media proUmno ingin menjadi anggota UMNO.

“Saya harap politik kita lebih matang daripada itu, mesej perjuangan kita harus dikukuhkan agar Islam sentiasa berada di hati kita,” katanya.

Ibrahim pula berkata beliau hadir atas dasar ingin menyatakan sokongan terhadap perjuangan Hasan menegakkan Islam di negara ini.

“Tindakan memecat Hasan sepatutnya tidak terjadi dalam sebuah parti yang memperjuangkan Islam, parti Islam perlu ada perbincangan dan rundingannya. Ini bukan isu kecil, ini melibatkan prinsip,” katanya